cropped-KDI-BACKGROUND01.png

Maklumat segala progam Jelajah Kebun Dapur.

MAFFI Perteguh Keselamatan Makanan Sabah, Sasar Kurangkan Import Melalui Pemodenan Sektor Agromakanan

KOTA KINABALU | 26 Januari 2026 - Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) komited memacu agenda keselamatan makanan dan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) Negeri Sabah secara progresif. Langkah strategik ini akan dilaksanakan melalui pengurangan kebergantungan kepada bekalan import dengan memperkasakan pengeluaran hasil tempatan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan bahawa matlamat tersebut merupakan keutamaan strategik utama kementerian. Fokus khusus akan diberikan kepada subsektor utama termasuk padi dan beras, ternakan (lembu dan ayam), sayur-sayuran, serta perikanan bagi memastikan kestabilan harga dan kelangsungan bekalan demi kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, sektor agromakanan bukan sekadar jaminan bekalan makanan peribadi rakyat, malah bertindak sebagai tonggak ekonomi negeri yang mampu menjana pendapatan komuniti luar bandar.

"Segala perancangan dan pelaksanaan di peringkat kementerian mestilah bergerak seiring dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Ini akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan," ujar beliau.

Jamawi berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini hari ini.

Peralihan ke Arah Pertanian Pintar dan Pemerkasaan Belia

Bagi menyokong aspirasi tersebut, Jamawi menekankan keperluan mendesak untuk memodenkan sektor pertanian dan perikanan dengan meninggalkan kaedah tradisional. Beliau menyeru agar peralihan kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi, pertanian berketepatan tinggi, serta pemanfaatan data dan Internet Kebendaan (IoT) dipercepatkan menerusi kolaborasi strategik bersama universiti dan institusi penyelidikan.

Mengulas mengenai pelapis sektor berkenaan, beliau menyatakan bahawa masa depan industri agromakanan Sabah terletak di tangan generasi muda. Justeru, sektor ini perlu diangkat sebagai satu kerjaya yang berdaya maju, bermaruah, dan menguntungkan.

"Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan padu kepada pembangunan agropreneur belia. Ini termasuk memperkasakan perniagaan dan koperasi baharu, selain menambah baik akses kepada pemilikan tanah, pembiayaan kewangan, dan sokongan teknikal," katanya.

Pada masa yang sama, pemerkasaan petani, nelayan, dan komuniti luar bandar kekal menjadi agenda teras bagi melonjakkan pendapatan golongan sasar, sekali gus memutus rantai kebergantungan kepada orang tengah.

Pelancaran Inisiatif Kebun Dapur Berskala Besar

Sebagai langkah proaktif menangani kos sara hidup, Jamawi mengumumkan bahawa MAFFI akan melancarkan 'Inisiatif Kebun Dapur' secara berstruktur di seluruh Sabah. Program ini bertujuan menggalakkan isi rumah, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengusahakan tanaman, ternakan kecil, serta perikanan skala kecil untuk keperluan domestik.

Siri Jelajah Kebun Dapur yang pertama dijadualkan bermula di daerah Tuaran pada bulan hadapan dan bakal dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah.

"Inisiatif ini akan menggunakan pendekatan mentor-mentee dengan melibatkan bimbingan langsung daripada pakar pertanian yang berkredibiliti. Usaha ini bukan sahaja melatih belia dari aspek teknikal, malah memantapkan kemahiran pengurusan, pemasaran, serta pendedahan kepada teknologi automasi," tambah beliau.

Tadbir Urus Berintegriti dan Peruntukan Belanjawan 2026

Di samping itu, Jamawi turut menitikberatkan kepentingan tadbir urus yang telus, sistem penyampaian yang pantas, serta amalan integriti tinggi dengan prinsip toleransi sifar terhadap sebarang ketirisan. Beliau menggesa semua pegawai dan agensi di peringkat negeri mahupun persekutuan untuk mengikis budaya kerja 'silo' dan lebih kerap turun ke padang demi menyelesaikan isu rakyat secara tuntas.

Bagi memastikan setiap perancangan mencapai keberhasilan impak tinggi, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas akan dikuatkuasakan di setiap jabatan serta agensi, disusuli dengan pemantauan berkala.

Menyentuh aspek kewangan, Jamawi menyatakan penghargaan atas komitmen jitu Kerajaan Negeri yang memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada MAFFI dalam Belanjawan 2026, yang membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib para petani, penternak, nelayan, dan usahawan tani di Sabah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri MAFFI I dan II, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) merangkap Pengerusi Penganjur Majlis, Sabdil Tanjong; serta barisan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *